Saturday, July 24, 2010

Muzik Menurut Islam oleh Ustaz Hasrizal (Bahg. 1)

Manusia Dan Seni

Manusia adalah makluk yang dibekalkan oleh Allah SWT dengan perasaan, tabiat dan kecenderungan semulajadi yang sudah menjadi fitrah kejadian manusia.. Jiwa dan perasaan manusia perlu disahut kehendak-kehendaknya sebagaimana manusia memberikan hak-hak tertentu kepada akal dan tubuh badannya. Apabila jiwa dan batin ditekan atau tidak disahut kecenderungannya, ia akan cepat memberontak menyebabkan kehidupan tidak tenteram. Islam telah mengiktiraf hak-hak batin manusia melalui firman Allah Taala: “... Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)” Ali Imran : 14.

Namun, dalam menyahut kehendak batin dan jiwa, Islam meletakkan batas-batas tertentu. Batas-batas ini sekiranya dilanggar akan menyebabkan kerosakan dan kemudaratan kepada individu dan masyarakat muslim. Di sinilah terpancarnya keunggulan Islam dalam memastikan kebahagiaan hidup makhlukNya di bumi Allah SWT yang menjadikan manusia dan Maha Mengetahui seelok belok dan kehendak hambaNya. Lantaran itu, Allah murka kepada orang yang mengharamkan perhiasan dan kelazatan-kelazatan yang telah dikurniakan olehNya kepada hamba-hambaNya di pentas dunia ini. FirmanNya: “Katakanlah (wahai Muhammad) siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hambaNya dan mengharamkan rezeki yang baik.” Al-A’raaf : 32 FirmanNya lagi: “Jangan kamu lupa bahagian kamu daripada kehidupan dunia ini.” Al-Qasas: 77


Muzik Sufi


Muzik adalah sebahagian daripada seni. Mendengar irama muzik merupakan satu wasilah untuk melapangkan jiwa yang hambar dan fikiran yang berserabut. Dengan menyanyi (atau bernasyid) dan mendengar irama-irama tertentu seseorang itu boleh gembira atau sedih, tenang atau gelisah dan sebagainya. Perkara ini adalah fitrah yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun, tua atau muda, kecil atau besar. Hatta janin di dalam kandungan ibu bertindak balas dengan suara nyanyian ibunya sebagaimana hasil kajian yang dilakukan oleh Persatuan Kajian Sains Diraja England.

Perkembangan dunia seni mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan tamadun. Ia berkembang selari dengan perkembangan
sesebuah tamadun bangsa. Sekiranya kita kembali kepada sejarah ketamadunan Islam kita mendapati kebenaran fakta ini. Di permulaan pembinaan tamadun Islam, iaitu di zaman Rasulullah SAWdan Khulafa’ Ar-Rasyidin, seni tidak begitu dititikberatkan kerana umat Islam sibuk berjuang di jalan Allah SWT untuk meluaskan empayar Islam. Tiada masa bagi mereka untuk bersuka ria dan memberikan perhatian kepada perkara-perkara sisipan dalam kehidupan seperti seni. Apabila kuasa Islam semakin meluas dan berlaku persekongkolan tamadun dengan Parsi,India, Rom dan sebagainya, bidang seni semakin berkembang. Umat Islam yang hidup dalam keamanan dan kemewahan mula mencari hiburan dan suka ria untuk memenuhi kelazatan dan kesenangan hidup. Lantaran itu berkembanglah dunia seni dengan pesatnya.


RAIHAN (Kumpulan Nasyid Malaysia)

Alat-alat muzik diimport daripada tamadun-tamadun lain seperti Parsi dan India. Mereka mula tenggelam dalam dunia kemewahan, bersuka ria dan hiburan yang berlebihan dan bercanggah dengan batas-batas Allah SWT. Natijahnya umat mula melupai kewajipan mereka. Kehidupan bercampur aduk dengan unsur-unsur maksiat, empayar Islam semakin lemah kerana lemahnya pemimpin dan rakyat, akhirnya satu demi satu jajahan Islam dirampas oleh musuh dan mengakibatkan kehancuran empayar Islam dan kehinaan umatnya. Inilah gambaran apa yang berlaku kepada Khilafah Othmaniyyah di Turki.

Di abad ini alam Islami menghadapi perkembangan dunia seni yang lebih mencabar. Dengan berlakunya persekongkolan tamadun dengan barat, umat Islam diserang dengan arus massa yang amat deras. Tamadun material Barat telah mengeksport ke dunia Islam berbagaibagai corak seni yang meliputi perfileman, drama, nyanyian, dokumentari dan seumpamanya melalui wasilah-wasilah massa seperti TV, radio, wayang, video, komputer, satelit dan sebagainya. Barat yang tidak mengerti halal dan haram menjadikan dunia seni seumpama neraka jahannam yang menjadi ancaman yang amat merbahaya dan suka ditangkis oleh umat Islam di masa kini. Umat Islam seolah-olah sudah tidak bermaya lagi untuk menangkis seranganserangan tersebut. Mereka seumpama ‘Pak Angguk’ yang menerima sahaja segala apa yang dikurniakan oleh barat kepada mereka tanpa menilai baik atau buruk, membina atau tidak. Lantaran itu menjadi kewajipan umat Islam untuk menghadapi serangan media massa yang hebat ini demi keagungan Islam. Umat Islam perlu mengemukakan alternatif-alternatif baru yang dapat menggalang-gantikan bentuk-bentuk hiburan Barat yang jauh lebih melencong daripada batas-batas Allah SWT.


Yusuf Islam (sekadar gambar hiasan)

Tamat bahagian 1..Nanti sambungan bahagian seterusnya..Salam Madin Madun.

Sumber : http://www.muslimdiary.com/downloads/muzik%20menurut%20islam Ust%20Hasrizal.pdf

No comments:

Post a Comment